Saturday, January 16, 2010

::Masalah Air Labuan Punca 100 Penuntut UMS-KAL Berhenti(maklumat lanjut klik di sini)::

sumber: sabahdaily.com
Oleh: admin | 9 December, 2009

Kira-kira 100 penuntut Universiti Malaysia Sabah-Kampus Antarabangsa Labuan berhenti daripada mengikuti pengajian di kampus itu ekoran masalah air di pulau itu. Kehidupan lebih 2,000 penuntut yang tinggal di asrama UMS-KAL semakin sukar sejak masalah bekalan air di pulau itu berlaku mulai pertengahan tahun ini.

Mereka yang menetap di tingkat atas bangunan apartmen empat tingkat asrama UMS-KAL terpaksa menggunakan baldi untuk mengangkut air dari tingkat bawah ke unit kediaman mereka.

“Jumlah sebenar penuntut yang meninggalkan universiti atas alasan masalah bekalan air sebagai sebab utama adalah kira-kira lima peratus,” kata penolong pendaftar hal ehwal pelajar Zamri Mohd Tuah kepada Bernama.

Gangguan bekalan air itu dijangka dapat diselesaikan hujung tahun depan apabila projek paip air bawah laut bernilai RM360 juta dari Sungai Padas di Beaufort ke pulau itu siap sepenuhnya.

Zamri berkata tangki-tangki air diletakkan di setiap bangunan asrama bagi mengurangkan beban para penuntut mendapatkan bekalan air dan bilik air sementara akan dibina di tingkat bawah dalam masa terdekat di pekarangan setiap blok asrama.

“Kami akan membuat susulan dengan Jabatan Bekalan Air setiap minggu untuk mendapatkan bantuan bagi memastikan kampus itu mempunyai bekalan air mencukupi,” katanya.

Kampus itu merupakan antara kawasan yang paling teruk mengalami gangguan bekalan air.

Petugas kejuruteraan UMS-KAL Azri Awang Tanjung berkata masalah air berada di luar kawalan universiti itu.

“Masalah bekalan air ini tidak hanya dihadapi oleh penuntut UMS-KAL tetapi juga penduduk Labuan. Kita perlu menghadapi kenyataan bahawa kita sekarang ini mengalami gangguan bekalan air dan ia akan berakhir apabila saluran paip air baru itu disambung ke pulau ini hujung tahun depan,” katanya.

UMS-KAL mempunyai sebuah lagi asrama dengan kira-kira 100 penuntut di Taman Mutiara, Sungai Bedaun, yang turut mengalami masalah serupa.

Penduduk di bandar dan 27 kampung di pulau itu terpaksa berhadapan dengan catuan air pada sebelah siang setiap hari dan air hanya akan mengalir memasuki saluran paip mereka pada tengah malam untuk tempoh kira-kira tiga atau empat jam sebelum berhenti kembali.

Bersyukur dengan hujan yang turun berterusan kebelakangan ini, bekalan air pulih sedikit di pulau yang masih bergantung dengan bekalan air dari tanah besar Sabah menerusi saluran paip bawah laut dari Sungai Padas.

Ketika ini, permintaan bekalan air di Labuan ialah kira-kira 56 juta liter sehari tetapi bekalan kini hanya 42 juta liter, kekurangan sebanyak 25 peratus.

Tetapi dengan 10 juta liter diperlukan loji metanol Petronas yang mula beroperasi di sini tahun ini, tinggal hanya kira-kira 32 juta liter untuk pengguna air lain.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata beliau telah menulis surat kepada Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican mengenai kemungkinan syarikat petroleum negara itu mendapatkan sumber air terus dari tanah besar.

Raja Nong Chik berkata pelbagai usaha diambil untuk memperbaiki bekalan air termasuk pembinaan telaga-telaga tiub di beberapa lokasi di Kampung Tanjung Aru dan Kampung Kerupang bagi mengumpulkan air bawah tanah Labuan.

– BERNAMA -

1 comment:

  1. uish,lmbt lg nu nk sttle msalah ni..
    kalu lgu ni la,mkna kata smpai hg abih ngaji kat stu la kna face bnda ni...

    ReplyDelete