Tuesday, January 19, 2010

tanya ustaz:: Al-Quran : Bacaan Gagap Lebih Baik Dari Lancar? dipetik dari : www.zaharuddin.net


Oleh :

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman


soalan kemuskilan:

Assalamualaikum wrt,

Berkenaan hadith nabi yang menyebutkan bahawa dua ganjaran bagi orang yang membaca al-quran dengan kepayahan kerana tidak lancar. Adakah ganjaran itu melebihi ganjaran pahala orang yang membaca lancar? Biasanya kalau dengar di ceramah-ceramah, penceramah selalu menyebut bahawa pahalanya melebihi pahala orang yang membaca lancar. Tapi baru-baru ini, saya ada terima email yang memetik dari kitab fadhilat amal dan pendapat yang diberi adalah bertentangan. Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan

Berpandukan kepada pertanyaan saudari, di sana ada dua kemungkinan, iaitu :-

  • 1) Penceramah tersilap ; Jika ia benar-benar diucapkan oleh penceramah, ternyata sang penceramah tidak melakukan homework dengan baik atau mengambil informasi secara rambang tanpa mempelajari atau merujuk kepada sumber dengan tepat. Hasilnya timbulkan kenyataan silap sebagaimana yang diberi.

  • 2) Saudari selaku pendengar tersilap ; mungkin juga, penceramah menerang dengan betul, cuma saudari selaku pendengar yang tersilap menangkap point yang diberikan oleh pencermah berkenaan.

Tanpa perlu kita pergi lebih jauh untuk mencari salah siapa, adalah lebih baik saya jelaskan letak duduk sebenar dalam hal pahala membaca Al-Quran walau dalam keadan tergagap dan tersekat-sekat, serta perbandingannya dengan pahala bacaan mereka yang lancar.

Hadis yang sewajarnya menjadi rujukan dalam bab ini adalah seperti berikut :-

الماهر بالقرآن مع السفرة الكرام البررة والذي يقرأ القرآن ويتتعتع فيه وهو عليه شاق له أجران

Ertinya : Orang yang mahir membaca Al-Quran akan bersama para Rasul yang ta'at, manakala orang yang membaca Al-Quran walau dalam keadaan tersekat dan tergagap, dan padanya kesukaran, baginya dua pahala. ( Riwayat Muslim, no 1329, 1/550)

Jika dilihat dari huraian kebanyakan para ulama silam, kecenderungan tafsiran mereka terhadap hadis di atas adalah bukan pada ‘membaca sambil melihat Al-Quran' tetapi lebih kepada membaca secara hafalan. Mungkin disebabkan zaman tersebut, menghafal Al-Quran sudah menjadi kebiasaan hampir bagi semua umat Islam, khususnya para ulama. Justeru hampir tidak timbul masalah membaca sambil melihat al-quran lagi.

Imam An-Nawawi menghuraikan bahawa maksud orang yang mahir dalam hadis di atas adalah mereka yang bijak dan sempurna hafalan serta tidak sukar membaca ayat-ayat Al-Quran. Manakala mereka yang menghafal dan bacaannnay tersekat-sekat, maka baginya dua pahala, iaitu pahala bacaan serta pahala melawan kesukaran yang dihadapinya. (Syarah Sohih Muslim)

Namun demikian, terdapat juga ulama silam dan kontemporari khususnya yang memasukkan orang yang membaca al-Quran secara melihat mushaf juga di dalam konteks hadis di atas. Ini kerana hadis tersbeut tidak menyebut kalimah hafazan dengan jelas, ia hanya menyebut ‘baca', justeru adalah lebih tepat untuk tidak mengkhususkannya kepada hafazan semata dan menidakkan kelebihan bagi yang membaca dari mushaf.

Pandangan kedua ini lebih tepat dan kuat serta amat bertepatan dengan keadaan umat Islam hari ini yang semakin sedikit di antara mereka yang mampu membaca Al-Quran dengan baik, walau dengan cara melihat mushaf.

Berkenaan perbandingan yang ditanyakan, ulama besar mazhab Maliki, Al-Qadhi ‘Iyadh berkata hadis di atas sama sekali tidak bermaksud meraka yang tersekat dan gagap lebih baik daripada si pembaca lancar dan tepat, kerana kelebihan yang disebut bagi orang yang mahir iaitu bersama para Rasul adalah jauh lebih besar dan tidak sama sekali mampu ditandingi oleh dua pahala yang diperuntukkan bagi mereka yang kurang mahir.

Memang benar, malah tidak munasabah sama sekali bacaan mereka yang tidak lancar lebih besar pahalanya daripada yang lancar. Jika demikian keadaanya, lebih baik, jangan lancar bacaan sampai bila-bila, bukankah itu tidak logic lagi tidak bertepatan dengan kefahaman aqal yang waras.

Dari penjelasan tersebut, kesimpulannya hadis Nabi s.a.w tadi sebenarnya bukanlah diungkap dengan tujuan membuat perbandingan pahala di antara satu sama lain, tetapi ia lebih kepada penjelasan kelebihan tersendiri bagi kedua-dua keadaan pembaca Al-quran. Bermakna, bagi yang mahir, ada ganjarannya yang tersendiri, demikian juga bagi yang masih belum begitu mahir. Justeru, teruskan usaha bagi yang belum mahir agar mencapai tahap mahir dan setersunya meraih kebaikan yang ditawarkan.

.:: Harga sebuah kasih sayang ::.

SEORANG lelaki tua yang baru kematian isteri tinggal bersama anaknya, Arwan dan menantu perempuannya, Rina, serta anak pasangan itu, Viva yang baru berusia enam tahun. Keadaan lelaki tua itu agak uzur, jari-jemarinya sentiasa menggeletar dan pandangan pula semakin hari semakin kabur. Malam pertama berpindah ke rumah anaknya, mereka makan malam bersama. Lelaki tua merasa kurang selesa menikmati hidangan di meja makan. Dia merasa amat canggung menggunakan sudu dan garpu. Selama ini dia gemar bersila, tapi di rumah anaknya dia tiada pilihan.

Cukup sukar dirasakannya, sehingga makanan bersepah tanpa dapat dikawal. Bukan dia tidak merasa malu berkeadaan begitu di depan anak menantu,tetapi dia gagal menahannya. Lantaran kerap benar dijeling menantu, seleranya patah. Dan tatkala dia mencapai gelas minuman, pegangannya terlucut. Prannnnngggggg ... !! Bertaburan kaca di lantai. Lelaki tua serba salah. Dia bangun,cuba mengutip serpihan gelas itu, tapi Arwan melarangnya. Rina masam mencuka. Viva pula kesian melihat datuknya, tapi dia hanya melihat, kemudian makan semula. "Esok ayah tak boleh makan bersama kita," Viva mendengar ibunya berkata pada ayah, sebaik datuk menghilangkan diri ke dalam bilik. Arwan hanya membisu. Namun sempat anak kecil itu merenung tajam ke dalam mata Arwan. Sebagai memenuhi tuntutan Rina, Arwan membeli sebuah meja kecil yang rendah, lalu diletakkan di suatu sudut bilik makan. Di situlah ayahnya menikmati hidangan bersendirian, sambil anak menantu makan di meja berhampiran.

Viva pula dihalang apabila dia merengek mahu makan bersama datuknya. Air mata lelaki tua meleleh mengenang nasibnya diperlakukan begitu. Ketika itu dia teringat kampung halaman yang ditinggalkan. Dia terkenang arwah isterinya. Lalu perlahan-lahan dia berbisik: "Miah... buruk benar layanan anak kita pada abang." Sejak itu, lelaki tua merasa tidak selesa tinggal di situ. Hari-hari dia diherdik kerana menumpahkan sisa makanan. Dia diperlakukan seperti hamba. Pernah dia terfikir untuk lari dari situ, tetapi mengenangkan cucunya, dia menahan diri. Dia tidak mahu melukakan hati cucunya. Biarlah dia menahan diri dikelar dan dicalar anak menantu.

Suatu malam, Viva terperanjat melihat datuknya makan menggunakan pinggan kayu, begitu juga gelas minuman yang diperbuat daripada buluh. Dia cuba mengingat-ingat, di manakah dia pernah melihat pinggan seperti itu. "Oh! Ya..." bisiknya. Viva teringat, semasa berkunjung ke rumah sahabat papanya dia melihat tuan rumah itu memberi makan kucing-kucing mereka menggunakan pinggan yang sama. "Taklah pecah lagi, kalau tak, nanti habis pinggan mangkuk mama," kata Rina apabila anaknya bertanya. Masa terus berlalu. Walaupun makanan berselerak setiap kali waktu makan, tiada lagi pinggan atau gelas yang pecah. Apabila Viva merenung datuknya yang sedang menyuap makanan, kedua-duanya hanya berbalas senyum.

Seminggu kemudian, sewaktu pulang dari bekerja, Arwan dan Rina terperanjat melihat anak mereka sedang bermain dengan kepingan-kepingan kayu. Viva seperti sedang membuat sesuatu. Ada penukul, gergaji dan pisau di sisinya. "Eh, apa sayang buat ni? Berbahaya main benda-benda ni," kata Arwan menegur manja anaknya. Dia sedikit hairan bagaimana anaknya dapat mengeluarkan peralatan itu, sedang ia disimpan di dalam stor. "Nak buat pinggan, mangkuk dan gelas untuk ayah dan emak. Bila Viva besar nanti, taklah susah cari. Kesian ayah, terpaksa ke bandar beli pinggan atuk," kata Viva. Gamam mendengar jawapan anaknya, Arwan terkedu. Perasaan Rina terusik. Kelopak mata kedua-duanya bergenang. Jawapan Viva menusuk, seluruh tangkai jantung dirasa seperti dihiris sembilu. Mereka benar-benar rasa bersalah! Malam itu Arwan memimpin tangan ayahnya ke meja makan. Rina menyenduk nasi dan menuang minuman ke dalam gelas. Nasi yang tumpah tidak dihiraukan. Viva beberapa kali memandang ibunya, kemudian ayah dan akhir sekali wajah datuknya. Dia tidak bertanya, cuma tersenyum selalu bagi menyatakan rasa seronok duduk bersebelahan datuknya di meja makan. Lelaki tua itu juga tidak tahu kenapa anak menantunya tiba-tiba berubah. "Esok Viva buang pinggan kayu tu, nak buat apa?" kata Viva pada ayahnya selepas makan. Arwan hanya mengangguk, tetapi dadanya terus sebak. huhuhuhuhuhuhuhuhu

MORAL OF THE STORY: "Hargailah kasih sayang kedua orang tua kita.....Ibu bapa kita hanya satu, perginya tidak akan ada pengganti...jadi, berbaktilah kepada mereka selagi hayat dikandung badan! "