Thursday, January 21, 2010

..:: Fitnah Membunuh Kesatuan, Membangkit Persengketaan ::..


assalamualaikum...
khas buat rakan seperjuangan...

Fitnah adalah satu malapetaka yang membinasakan. Sememangnya Islam memberi perhatian serius terhadap bahaya fitnah sehingga disebut implikasinya lebih buruk dari membunuh. Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa justeru ia sering membabitkan tuduhan tanpa bukti, prasangka tanpa asas dan persepsi yang salah. Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau sekurang-kurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain.


Ia juga seperti harimau yang sedang tidur. Sesiapa sahaja yang mengejutkannya dari tidur yang nyenyak hanya membuatkan harimau itu bingkas dan menerkam. Sedikit sahaja percubaan meniup api fitnah, ia akan menyala dan menyambar. Fitnah juga boleh tercetus dalam pelbagai situasi juga dari aneka posisi. Lantaran itu, berhati-hatilah kerana fitnah adalah agenda syaitan yang pastinya ingin melihat para pejuang Islam berantakan sesama sendiri.

Semoga kita dipelihara oleh Allah swt daripada kebinasaan ini. Jauhi fitnah malah jangan sekali-kali berjinak-jinak dengan fitnah. Jika ingin membuat tuduhan, pastikan ada bukti yang kukuh dan jelas.

Jika mahu mengandai atau menyangka, pastikan andaian atau sangkaan itu baik. Jika mahu membentuk persepsi, bentuklah persepsi yang tepat dan benar. Terlebih wajar sikap itu diambil tatkala kita berhadapan dengan sahabat seperjuangan. Meskipun wujud perbedaan pandangan dan kelainan tindakan di kalangan anggota, ia tidak menghalalkan kita mencetus dan menabur fitnah.

Fitnah yang dicetus samalah kita menikam dan membunuh sahabat seperjuangan kita bahkan kesannya lebih kejam. Hanya dengan sebab fitnah, persaudaraan entah ke mana dan persahabatan entah ke mana. Maka terbuktilah bahawasanya lidah ini lebih tajam daripada mata pedang. Fitnah juga menyebabkan luka lama akan kembali berdarah dan seterusnya akan membarah jika tidak dipangkas secara tuntas.

Mengelak agar fitnah tidak terus subur menjadi tanggungjawab kita semua dengan memastikan diri kita tidak bercakap dan mengulas dalam perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau jangan sekali - sekali membentuk sikap dan fikiran semata-mata mendengar dari satu pihak tanpa menilai dengan adil dan memberi peluang kepada pihak lain pula.

Padamkan segera api fitnah dan padam juga semangat dendam yang membara. Tiada siapa yang boleh mengaut keuntungan apabila fitnah ini merebak, sebaliknya kita akan binasa, anggota akan berpecah, masa depan perjuangan menjadi suram dan Allah akan murka.

Atas nama Allah swt kita bersyahadah, kitab suci al-Quran menjadi rujukan bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita, maka saya menyeru semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini. Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada agen-agen musuh untuk menyelinap masuk merosakkan kita dan kesatuan kita dari dalam.

Marilah kita menghayati kembali roh berpersatuan yang berpaksi atas semangat ukhuwah fillah yang utuh lagi intim. Jangan pula kita seronok melihat kesatuan kita retak dan hubungan kita rosak dan musnah. Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar kesatuan dan ukhuwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya. Ini tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam yang tercinta agar kembali seperti zaman kegemilangan yang kita kecapi suatu ketika dulu.

:renungkan-renungkan kata pepatah di bawah ni:

(1) "bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat"
(2) "kerana nila setitik habis susu sebelanga"
(3) "berani kerana benar, dan takut kerana salah"