Tuesday, April 27, 2010

kanak2 berusia 15 tahun meninggal ditembak polis???

Bunuh juvana: Khalid minta polis lindungi saksi
Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 27 April: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta polis supaya melindungi dua saksi utama kes bunuh juvana, Aminul Rashid Hamzah, 15, (gambar) yang membabitkan empat pegawai polis, pagi semalam.

"Salah seorang saksi utama adalah anak polis sendiri, saya harap pihak polis beri jaminan dia ini dilindungi," jelas beliau di Pusat Khidmat Masyarakat di Parlimen Shah Alam, di sini pagi tadi.

Beliau turut meminta polis supaya tidak melakukan sebarang inisiatif untuk mengubah laporan kedua-dua saksi terbabit supaya selari dengan dakwaan polis sebelum ini iaitu mangsa ditembak kerana suspek kumpulan samun bersenjata.

"Jangan ada usaha-usaha nak mempengaruhi saksi ini supaya ubah atau mereka-reka cerita (supaya) sealiran dengan polis," jelas beliau sambil memberitahu media bahawa beliau sendiri bertanggungjawab membawa saksi utama terbabit pergi membuat laporan polis.

"Dengan laporan yang dibuat (oleh saksi utama) semalam, memadai dan jauh lebih benar berbanding kenyataan pihak polis di beberapa media."

(Gambar: Khalid menunjukkan laporan polis yang dibuat saksi utama dalam kes bunuh Aminul Rashid)

Dalam pada itu, beliau mempertikai tindakan polis menembak Aminul Rashid di kepala dari belakang sedangkan kereta yang mereka naiki tersebut tidak dapat dipandu dengan laju akibat tayar bocor.

Disebabkan itu, beliau mempersoal tindakan polis memukul salah seorang juvana terbabit, sebelum juvana tersebut melepaskan diri.

Beliau turut mempersoal pertimbangan polis menembak juvana yang terbabit sedangkan mereka masing-masing tidak bersenjata.

"Polis hanya boleh menembak apabila nyawa mereka sendiri terancam atau apabila nyawa orang awam terancam (sedangkan) di dalam kereta tidak ada walau sebilah senjata seperti yang didakwa polis sebelum ini," ujarnya.

Bercakap pada sidang media yang sama, Yaakub Sapari, Exco Kerajaan Selangor yang juga Adun Kota Anggerik turut menyuarakan rasa kecewa dengan insiden yang membabitkan rakyat di Dun beliau.

Dengan berlakunya peristiwa tersebut, seakan mengulangi insiden tembak rambang yang membabitkan seorang ibu tunggal, Norizan Salleh, Oktober tahun lalu.

Manakala, Monaliza Mokhtar (gambar sebelah), Biro Hal Ehwal Murid PIBG Sekolah Menengah Seksyen 7 pula menganggap beberapa media yang menganggap juvana terbabit sebagai suspek kumpulan samun sebagai suatu fitnah.

Beliau turut menjelaskan bahawa keluarga mangsa serta dua saksi utama sedang membuat pertimbangan akhir untuk mengambil tindakan kepada pihak berwajib yang terbabit memutar belit bukti sebenar berhubung juvana terbabit.

Beberapa media arus perdana sejak semalam melaporkan bahawa juvana terbabit sebagai suspek ahli kumpulan samun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan, dilaporkan tidak menolak kemungkinan bahawa mereka yang terbabit terlibat dalam kegiatan menyamun.

Tuntas dari tembakan di kepala yang membabitkan juvana dari Sekolah Menengah Seksyen 7, di sini tersebut, implisitnya mencalar kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan rakyat dan negara.