Wednesday, March 3, 2010

2 Mac 2010 hari ini dalam sejarah umskal



assalamualaikum...

memang hari ni dalam sejarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan(umskal) apabila hampir 2000 orang mahasiswa umskal dalam perjalanan ke menara pentadbiran umskal pada jam 9.20pagi waktu malaysia...

keadaan ni berlaku gara2 semua mahasiswa dalam kampus cawangan ni dah muak dengan kehidupan "mandi pagi, belum tentu petang boleh mandi" kerana ketiadaan bekalan air bersih.. yang paling susahnya apabila mai sakit perut mau buang air besar... uhhhhhhh...~~ da macam2 ragam aku tengok... yang berhambur dalam perjalanan pon ada... hmmm.... ntah la... dah setahun dah kot macam nih... ni la masa yang sesuai untuk membuka mata pihak atasan bagi menangani masalah yang berlanjutan sejak zaman senior kami dulu lagi..


bukan apa.. perhimpunan aman ini adalah semata2 hanya mahukan tindakan, bukannya alasan dan omongan kosong sahaja... supaya generasi akan datang tidak lagi berhenti sesudah diterima masuk ke alam universiti kampus antarabangsa labuan ni hanya kerana tidak tahan dengan kehidupan tanpa air yang begitu panjang tempohnya serta fasiliti yang langsung tidak nampak macam universiti... kalau hampa sumua nak taw, baru2 ni hampir 100 orang dah berhenti dan antaranya berpindah ke kampus induk sebab kes air ni ja... hmmm...

bagi sesiapa yang nk komen ataw nak kata bahawa "alaaa....xdak air pon nk kecoh ka??" aku cadangkan hampa mai sini stay 2-3 hari pastu baru la hampa taw rasanya jadi student umskal..

>>ni aku ada sediakal artikel daripada berita bernama :<<

LABUAN, 2 Mac (Bernama) -- Lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Selasa mengadakan piket bagi menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian segera terhadap masalah bekalan air di kampus itu.

Piket tersebut adalah yang pertama seumpamanya di pulau ini berikutan kekurangan bekalan air yang berlaku di sini sejak pertengahan tahun lepas.

Sambil membawa sepanduk dan poster, mereka berkumpul di kampus itu, yang terletak kira-kira 14km dari bandar Labuan, sejak pukul 9 pagi di bawah pengawasan polis.

Kuliah di kampus berkenaan dihentikan sementara berikutan piket itu.

Bercakap kepada Bernama, naib presiden majlis perwakilan pelajar UMSKAL Heryanto Hasanudin berkata mereka telah menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti itu sebelum piket tersebut diadakan.

Katanya dalam memorandum itu, pelajar meminta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat UMSKAL bagi melihat sendiri keadaan di situ; meminta bekalan air bersih disediakan secara berterusan; dan meminta universiti itu ditutup sehingga masalah bekalan air di situ diselesaikan.

Lebih 2,500 pelajar menuntut di universiti itu, sebahagian besarnya berasal dari tanah besar Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta sebilangan kecil dari China, Indonesia dan negara lain.

"Akibat masalah bekalan air ini, ada pelajar yang berhenti dan melanjutkan pengajian di universiti lain," katanya.

Heryanto berkata pelajar menghadapi masalah bekalan air di kampus itu sejak semester pertama tahun lepas dan berharap keadaan akan bertambah baik pada semester kedua.

"Malangnya, keadaan bertambah buruk. Kami telah suarakan masalah ini sejak tahun lepas, tapi ia terus berlarutan. Kami harap menteri berkenaan akan mencari jalan bagi membantu kami," katanya.

Kini, pelajar universiti itu bergantung pada bekalan air yang dihantar oleh lori tangki Jabatan Bekalan Air bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Heryanto berkata mereka cuba menghubungi naib canselor universiti itu untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak berjaya.

Usaha Bernama untuk menghubungi pengarah UMSKAL juga tidak berhasil.

Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal berkata beliau telah meminta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mencari penyelesaian bagi masalah kekurangan bekalan air di Labuan.

"Kami tidak boleh biarkan para pelajar dan rakyat kami terus mengalami masalah ini sepanjang masa. Kami tak akan dapat menarik pelabur sekiranya masalah ini berterusan," katanya.

UMSKAL memerlukan sekurang-kurangnya 120,000 gelen air sehari bagi memenuhi keperluan pelajar dan petugasnya.

Sementara itu, berikutan perbincangannya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Ahmad Phesal Talip, Jabatan Bekalan Air dijangka menghantar bekalan air yang secukupnya ke universiti itu.

Masalah kekurangan bekalan air di Labuan dijangka berakhir Disember ini apabila projek saluran paip dasar laut dari Beufort ke pulau berkenaan berharga RM365juta, disiap sepenuhnya.

Kini, Labuan bergantung pada bekalan air dari tanah besar Sabah melalui saluran paip dasar laut dari Sungai Padas di daerah Beaufort. Permintaan terhadap bekalan air di Labuan ialah kira-kira 56 juta liter sehari, sedangkan bekalan semasa hanya berjumlah 42 juta liter.

Masalah bekalan air di Labuan bermula apabila dua daripada tiga empangan kering awal tahun lepas.



- BERNAMA -